ESEI KUMPULAN

M-LEARNING


1.0 PENDAHULUAN

Teknologi maklumat dan komunikasi atau Information and Communicatio Technology  (ICT) meliputi semua teknologi yang membantu penyampaian maklumat seperti radio, televisyen, telefon mudah alih, komputer dan internet. Perkara ini telah memberi kesan terhadap pendidikan dan kesannya boleh dibahagikan kepada tiga fasa iaitu fasa penggantian, fasa peralihan dan fasa perubahan (Willems, Stakenborg & Veugelers, 2000). Dalam fasa penggantian, guru menjadikannya sebagai alat untuk sesi pengajaran dan pembelajaran tanpa mengubah kaedah pengajaran, manakala di dalam fasa peralihan, guru menggunakan ICT yang dapat merangsang perubahan kepada kaedah pengajaran yang baru. Bagi fasa perubahan pula, melibatkan perubahan asas terhadap peranan pelajar dan guru di dalam pengajaran dan pembelajaran.
            Proses pengajaran dan pembelajaran pada masa kini tidak lagi tertumpu di dalam bilik darjah semata-mata, sebaliknya boleh berlaku di mana-mana sahaja dan pada bila-bila masa. Sistem pendidikan telah mengalami satu lagi evolusi dalam teknologi pendidikan apabila pembelajaran mudah alih atau Mobile Learning diperkenalkan bagi meningkatkan tahap pengajaran dan pembelajaran. Di Malaysia, M-Learning boleh dikatakan masih baru dari aspek pelaksanaannya. M-Learning merupakan suatu konsep baru yang dilaksanakan dalam proses pembelajaran. Ia menekankan kepada keupayaan untuk memudah alih proses pembelajaran tanpa terikat kepada lokasi fizikal proses pembelajaran itu berlaku (Kukulska-Hulme & Traxler, 2005)
            Pembelajaran secara M-Learning telah terbukti keberkesanannya di negara luar. Perkongsian nota di antara pelajar telah dimudahkan dengan adanya alatan mudah alih seperti telefon pintar dalam kalangan pelajar. Mereka tidak perlu lagi duduk di hadapan komputer peribadi untuk memuat turun nota. Perkongsian nota telah dimudahkan dengan hanya menggunakan wifi atau perkhidmatan jalur lebar yang disediakan oleh pembekal perkhidmatan telefon mudah alih yang dilanggani dan memuat turun nota boleh dilakukan di mana sahaja dan pada bila-bila masa. Selain itu, mengikut Triantafillou, Georgiadou & Economides (2006), melalui kajian mereka terhadap ujian yang dilakukan melalui alatan mudah alih dalam pendidikan mendapati bahawa penilaian yang 3 dilakukan melalui ujian  M-Learning adalah lebih efektif dan efisyen kerana lebih menjimatkan masa berbanding dengan ujian yang menggunakan kertas dan pensil.

2.0 KONSEP DAN DEFINISI

Mobile Learning merupakan suatu konsep baru dalam proses pembelajaran dan menekankan kepada keupayaan untuk memudah alih proses pembelajaran tanpa terikat kepada lokasi fizikal proses pembelajaran berlaku (Kukulska-Hulme & Traxler, 2005). Dalam kata mudah, proses pembelajaran boleh dilakukan dimana-mana sahaja dan bukannya di kelas semata-mata. Sebagai seseorang pelajar di institusi pengajian tinggi khususnya di Malaysia, telefon mudah alih, komputer riba, palm talk merupakan gadget yang mampu dimiliki. Dengan adanya peralatan berteknologi ini, secara tidak langsung berpeluang untuk mengubah bentuk kaedah pembelajaran untuk mencipta komuniti pembelajaran yang luas, untuk menghubungkan manusia pada masa nyata ataupun dunia maya, untuk menyediakan kepakaran yang diperlukan dan seterusnya menyokong pembelajaran sepanjang hayat (Sharples, 2000).
            Telefon bimbit memainkan peranan yang penting dalam kehidupan pelajar sebagai alat untuk berkomunikasi dan telah berjaya menarik minat golongan muda (Hamdan, Din & Abdul Manaf, 2012). Berdasarkan Laporan Kaji Selidik Pengguna Telefon Bimbit 2007 yang dikeluarkan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia, lebih separuh daripada 21 juta pengguna telefon bimbit di negara ini gemar menggunakan khidmat SMS atau khidmat MMS sebagai medium berkomunikasi. Teknologi telekomunikasi juga terus mengalami perkembangan yang mendadak di seluruh dunia terutamanya dalam peralatan mudah alih seperti telefon bimbit dan PDA (Landell, 1997).
            Secara keseluruhannya M-Learning boleh dilaksanakan dalam sistem pendidikan di Malaysia kerana ia adalah satu perkhidmatan dan kemudahan yang membekalkan pengguna dengan maklumat elektronik secara am dan kandungan pendidikan yang membantu pencarian tanpa mengira masa dan tempat. Melalui penggunaan pembelajaran mudah alih secara tidak langsung boleh dijadikan penambahbaikan dalam proses pengajaran dan pembelajaran.


3.0 SEJARAH PENGGUNAAN MOBILE LEARNING

ICT telah dilaksanakan di negara ini hampir dua dekad dan diikuti dengan pelaksanaan
E-Pembelajaran. Setelah lebih sedekad kemudian, teknologi E-Pembelajaran menjadi semakin berkembang sehingga boleh dipaparkan di atas skrin kecil yang mampu dibawa ke mana-mana sahaja dan lebih dikenali sebagai teknologi M-Pembelajaran. Kajian-kajian lalu telah menunjukkan M-Pembelajaran sangat efektif dalam pengajaran dan pembelajaran. Kajian oleh  Saran, Cagility dan Seferoglu (2008) mendapati M-Pembelajaran menggunakan peralatan telefon mudah alih telah meningkatkan kemahiran pelajar dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris melalui penggunaan bahan berbentuk multimedia.
            Kajian juga mendapati penggunaan MMS dan SMS dapat mempertingkatkan perbendaharaan kata pelajar dengan berkesan. Antara kajian terawal dalam bidang M-Pembelajaran di Malaysia ialah kajian penilaian pelaksanaan program M-Pembelajaran kepada pelajar-pelajar tahun 5 di sebuah sekolah rendah di Kuala Lumpur (Saedah Siraj dan Norlida Alias, 2005). Tujuan kajian ialah untuk menyiasat sama ada pelaksanaan program M-Pembelajaran mencapai hasrat yang ditetapkan ke atasnya dan juga menilai kekuatan dan kelemahan program. Hasil kajian mendapati pelaksanaan program M-Pembelajaran telah mencapai hasrat yang ditetapkan ke atasnya. Kajian juga mendapati program M-Pembelajaran mempunyai banyak kekuatan disamping terdapat beberapa kelemahan.
            Di Malaysia, perkembangan teknologi tanpa wayar kini menunjukkan perkembangan yang amat pesat sekali. Penggunaan peralatan mudah alih seperti telefon mudah alih, PDA, komputer bimbit dan lain-lain peralatan telah meningkat. Permintaan yang tinggi terhadap telefon mudah alih ini menjadikan harganya semakin murah dan mampu dimiliki.  Telefon mudah  alih juga dipercayai sangat berguna untuk digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Malah terdapat perdebatan mengenai baik dan buruk peralatan ini sehingga kajian dan projek mengenai penggunaan telefon mudah alih dalam m-pembelajaran turut meningkat. Ini jelas menunjukkan bahawa masyarakat telah mula menerima pandangan tentang penggunaan telefon mudah alih dalam kepentingan pendidikan.
            Tambahan pula, terdapat beberapa sekolah yang telah mula menggunakan telefon mudah alih secara formal dalam pengajaran dan pembelajaran. Malaysia juga telah pun menjalankan kajian rintis terhadap pelaksanaannya melalui kajian “Belajar Secara Maya Guna iPhone” (Utusan,2009). Ini secara tidak langsung menunjukkan kebanyakan rayat Malaysia mempunyai telefon mudah alih yang membolehkan maklumat diperolehi secara tanpa wayar yang memungkinkan M-Pembelajaran dilaksanakan. Perubahan yang dibawa dalam pendidikan di Malaysia bukanlah mudah tanpa sebarang halangan dan cabaran memandangkan ianya melibatkan banyak bidang seperti sosial, politik dan ekonomi dalam sistem pendidikan Malaysia. Walaubagaimanapun, mengikut keadaan ekonomi kini, peningkatan yang berlipat ganda telefon mudah alih di kalangan rakyat Malaysia (Malaysian Communications and Multimedia Commision, 2010) memberikan petunjuk mengenai peluang untuk melaksanakan M-Pembelajaran di Malaysia.

4.0 APLIKASI MOBILE LEARNING DALAM PENDIDIKAN KHAS

Pendekatan baru dalam pengajaran dan pembelajaran iaitu aplikasi M-Learning adalah satu proses pembelajaran yang interaktif menggunakan alat teknologi komunikasi khususnya dalam bidang pendidikan khas. Ia merupakan langkah bijak untuk setiap pelajar mengakses ke dunia pendidikan global ini. Gomez (2007) membincangkan bagaimana pembelajaran disampaikan kepada pelajar melalui telefon bimbit. Daripada hasil kajian beliau, didapati pelajar lebih menggemari kaedah berkenaan kerana mereka boleh mempelajari sesuatu pelajaran mengikut kesesuaian masa mereka sendiri walaupun mereka berada jauh daripada komputer. Guru pendidikan khas juga menggunakan telefon bimbit untuk menunjukkan video dalam youtube ketika proses pengajaran dan pembelajaran dijalankan. Hal ini membolehkan pelajar berkeperluan khas mudah memahami isi pengajaran yang disampaikan oleh guru dan dapat mengelakkan para pelajar berasa bosan.
            Selain itu, teknologi digital ini boleh digunakan untuk melatih, membantu dan juga memudahkan proses pembelajaran. Aplikasi yang direka dengan baik boleh merangsang minat pelajar dan juga membantu pelajar-pelajar berkeperluan khas menyesuaikan diri dalam persekitaran arus perdana. Pada masa kini, aspek pendidikan dapat diaplikasikan sebagai aplikasi mudah alih dalam telefon pintar, komputer, tablet, dan peranti mudah alih sebagai m-learning. Hampir semua orang pada masa kini mempunyai telefon pintar, golongan berkeperluan khas juga tidak terkecuali untuk memiliki telefon pintarnya sendiri. Justeru, pembangunan aplikasi mudah alih untuk membantu pelajar berkeperluan khas dalam proses pengajaran dan pembelajaran boleh dianggap relevan.

5.0 KELEBIHAN DAN KELEMAHAN

            5.1 KELEBIHAN
  1.  M-Learning membantu pelajar meningkatkan kemahiran literasi dan numerik untuk  mengenalpasti keupayaan sebenar mereka.
  2. M-Learning boleh digunakan untuk menggalakkan kedua-dua pengalaman pembelajaran bebas dan pengalaman pembelajaran perkongsian (collaborative learning).
  3. M-Learning dapat membantu pelajar mengenalpasti perkara-perkara yang memerlukan  bantuan dan sokongan.
  4. M-Learning dapat membantu dalam memperjuangkan penggunaan teknologi maklumat dan  komunikasi serta dapat membantu mengurangkan jurang di antara literasi telefon mudah alih dengan literasi teknologi maklumat.
  5. M-Learning membantu pelajar menolak beberapa formaliti daripada pengalaman    Pembelajaran.
  6.  M-Learning membantu pelajar dalam mengekalkan fokus pembelajaran untuk jangka masa  yang lebih panjang.
  7. M-Learning membantu meningkatkan self-esteem
  8. M-Learning membantu meningkatkan keyakinan diri


Kesan-kesan positif ini jika dapat diterapkan di dalam suasana pembelajaran di institusi pengajian tinggi di Malaysia semestinya dapat meningkatkan prestasi seseorang pelajar dalam semua aspek yang ingin dicapai. Selain itu, mereka juga dapat melihat dan menggunakan teknologi mudah alih ini dengan perspektif yang lebih luas.
            Selain itu, elemen multimedia yang mampu mengintegrasikan audio dan video dapat menarik minat pelajar dalam penggunaan m-pembelajaran. Melalui pengajaran dan pembelajaran yang menggunakan audio dan video, pelajar akan menjadi lebih menumpukan perhatian, aktif, konstruktif, bersemangat dan dapat menyemarakkan peranan bekerjasama dalam suasana pemikiran kreatif dan kritis. Perkembangan seperti ini amat diperlukan dalam melahirkan graduan yang kompetitif dan berdaya saing.
            Keperluan dalam persekitaran pembelajaran yang baru perlu dilaksanakan agar proses pembelajaran tidak terbatas kepada kaedah tradisional semata-mata. Melalui m-pembelajaran, kebebasan dan kawalan diberikan sepenuhnya kepada pelajar. Pelajar diberi kebebasan untuk menghantar tugasan, menjawab soalan kuiz, memuat turun nota,  berdiskusi dan melakukan aktiviti-aktiviti pembelajaran mengikut kehendak dan kesesuaian masa mereka. Kebebasan yang diberikan kepada mereka terhadap kaedah pembelajaran ini dapat menarik minat mereka dalam mendalami sesuatu pelajaran. Memandangkan setiap pelajar berbeza, ia merupakan motivasi kepada mereka untuk terus maju dan meningkatkan prestasi pelajaran mereka.
            Kemudahan khidmat pesanan ringkas yang hadir bersama alatan mudah alih menjadikan sesi pengajaran dan pembelajaran lebih mudah kerana segala maklumat berkenaan temujanji bersama ahli kumpulan dan pensyarah dapat dilaksanakan secara masa nyata. Kemudahan ini dapat menjimatkan masa serta memudahkan seseorang pelajar dan pensyarah menetapkan jadual harian mereka tanpa terikat pada masa-masa tertentu sahaja.
            Selain itu, pelajar dapat menjimatkan masa untuk belajar. Kebanyakan m-pembelajaran mengandungi latihan yang membenarkan pelajar mencabar subjek tersebut dan memintas bahagian maklumat yang telah diketahui. Hal ini menunjukkan bahawa pelajar tetap mencapai objektif pengajaran melalui proses pembelajaran yang berlainan. Dalam pembelajaran tradisional, pelajar yang mempunyai tahap pengetahuan yang berbeza terpaksa menerima pengajaran yang sama.
            Seseorang pelajar juga dapat meningkatkan keberkesanan pembelajaran melalui m-pembelajaran. Pelajar dapat mencapai maklumat yang meluas apabila perlu. Maklumat dapat dikongsi antara individu dengan pakar dalam bidang tertentu yang dikenali melalui e-mel, chat-room atau papan bulletin. Masa untuk proses pembelajaran secara langsung dapat disingkatkan.

            5.2 KELEMAHAN

Terdapat beberapa kelemahan dalam  M-Learning yang dapat dikesan antaranya ialah saiz skrin peralatan mobile seperti PDA dan telefon bimbit yang agak kecil. Talian internet yang tidak stabil juga merupakan satu lagi kelemahan dalam pelaksanaan m-pembelajaran.  Masalah saiz skrin sememangnya menjadi satu isu dalam m-pembelajaran. Skrin yang kecil seperti di telefon bimbit menyukarkan sedikit pelajar untuk membaca dan menghadkan bilangan teks yang dipaparkan (Zhang, Wang, Rao, Yang, Li, & Lu, 2006). Selain daripada saiz skrin yang terhad, peralatan mobile juga menghadapi masalah lain seperti kaedah memasukkan input yang lemah dan hayat bateri  yang terhad (Parsons, Ryu, & Cranshaw, 2007).
            Kelemahan yang ketara adalah berkaitan dengan kesukaran dalam teknologi dan pengaksesan, maklumat yang melebihi beban, kualiti maklumat yang berubah, kehendak masa dan kekurangan kemahiran dan kesukaran dalam mengendalikan masalah-masalah teknikal seperti masalah sambungan internet, masalah teknikal peralatan mudah alih dan masalah virus. Terdapat juga beberapa kelemahan di dalam M-Learning ini kerana sebagai manusia kita pasti mempunyai kekurangan yang tidak dapat  dielakkan.
            Selain itu juga, kelemahan-kelemahan yang telah dikenalpasti ialah M-Learning ini sukar dikendalikan kerana pelajar kurang pengetahuan dalam web portal yang menggunakan sistem MOODLE (Modular Object-Oriented Dynamic Learning Environment atau dalam bahasa Malaysia ialah Modular Berorientasikan Objek Persekitaran Pembelajaran Dinamik). Talian internet juga yang sibuk turut menjadi penyumbang kepada proses M-Learning ini menjadi lambat dan membataskan penggunaannya.

6.0 ISU DAN CABARAN

Isu dan cabaran dalam pelaksanaan M-Learning dari aspek teknikal adalah di mana penggunaan telefon bimbit atau PDA dalam proses pengajaran dan pembelajaran kurang efektif. Hal ini demikian kerana skrin telefon bimbit dan PDA adalah kecil menyebabkan maklumat-maklumat yang disampaikan menjadi ringkas. Jika maklumat yang disediakan banyak dan panjang, ianya akan menyusahkan pelajar melihat atau membaca maklumat yang disampaikan kerana paparan akan menjadi kecil serta pelajar akan menjadi tidak jelas dan kurang faham mengenai maklumat tersebut. Melalui kajian yang dijalankan oleh Ronaldi (2008), ianya menunjukkan pelajar mengalami kesukaran untuk melayari maklumat tambahan yang perlu melalui butang. Ini kerana butang tersebut terlalu kecil dan susah untuk ditekan, sesetengah telefon bimbit dan PDA pula mempunyai jumlah storan yang kecil dan tidak mampu untuk menampung bahan pembelajaran yang dimuat turun. Rangkaian yang menyediakan M-Learning juga mungkin mengalami kesesakan apabila pengguna dan bahan semakin bertambah. Perubahan dalam pasaran telefon bimbit dan PDA pada masa kini amat pantas dan teknologi dari telefon bimbit dan PDA akan sentiasa ditambah baik.
            Dari sudut sosial dan pembelajaran pula, M-Learning dilihat bertentangan dengan norma-norma kaedah pembelajaran di Malaysia kerana sistem pembelajaran di Malaysia amat menekankan hubungan baik di antara pelajar dengan guru. Di dalam penggunaan M-Learning, tiada komunikasi bersemuka dan hubungan yang baik antara pelajar dan guru. Dengan ini, guru tidak dapat mengenal pasti kelebihan dan kelemahan yang ada ke atas pelajar-pelajarnya dan sukar untuk membentuk keperibadian pelajar. Penggunaan media teknologi telefon bimbit dan PDA dari satu aspek seolah-olah membataskan perhubungan pelajar dengan guru. Selain itu, kebergantungan pelajar terhadap M-Learning akan membataskan kemampuan pelajar dan lama kelamaan menjadi lemah dan hamba kepada teknologi seperti kemungkinan seseorang pelajar itu boleh mengalami “telephone addict” iaitu di mana kehidupan seseorang itu terlalu bergantung terhadap telefon bimbit.
            Pada masa yang sama, ia juga memberi kesusahan kepada segolongan pelajar. Ini kerana tidak semua pelajar mampu memiliki telefon bimbit dan PDA yang boleh menyokong M-Learning. Semuanya adalah mahal bagi golongan pelajar yang miskin. Begitu juga dengan kos pengaktifan GPRS atau 3G yang perlu dibuat sebelum pembelajaran secara M-Learning dapat digunakan dengan sepenuhnya. Semua ini memakan kos yang tinggi. Selain itu juga tidak semua maklumat daripada disiplin tertentu dapat disampaikan oleh guru kepada pelajar melalui M-Learning.     
   
8.0 KESIMPULAN

M-Learning telah mula memainkan peranan penting di dalam pembelajaran. Kewujudan teknologi mudah alih tanpa wayar telah menjadikan ianya satu realiti. Kebebasan pelajar belajar dan memperoleh maklumat menjadikan M-Learning sangat digemari. Dengan kecanggihan teknologi serta kemampuan memiliki peranti mudah alih, M-Learning bukanlah sesuatu yang sukar untuk dilaksanakan di Malaysia. Justeru itu, ia menunjukkan bahawa M-Learning sememangnya sesuai untuk dilaksanakan di Malaysia sekaligus merebut peluang yang ada bagi melahirkan pelajar yang berdaya saing dan dapat menguasai kemahiran enrik yang seharusnya ada dalam diri setiap pelajar seawal peringkat sekolah lagi.
            Faedah-faedah yang dapat diperolehi dengan penggunaan M-Learning boleh dijadikan motivasi dalam menjayakan kaedah pengajaran terbaru ini. Kesannya kepada masa depan pelajar adalah terbukti di luar negara dan itulah kunci kejayaan yang perlu diambil kira untuk merealisasikan kaedah pengajaran dan pembelajaran M-Learning. Di Malaysia, kita harus merebut peluang yang terdapat dalam M-Learning untuk melahirkan pelajar yang berdaya saing dan dapat menguasai kemahiran umum yang seharusnya ada dalam diri setiap pelajar.

RUJUKAN

            Bob Little (2012). Effective and efficient mobile learning: issues and tips for developer. Dicapai pada Mei 5, 2017 dari doi:org/10.1108/00197851211267983.
            Idrus.W.&Buntat,Y (2008). Aplikasi M-Learning dalam Pengajaran dan Pembelajaran Di Sekolah-Sekolah Malaysia: Isu Dan Cadangan Pelaksanaannya. Fakulti Pendidikan Universiti Teknologi Malaysia.
            Nitin U. (2006). M-Learning -A New Paradigm in Education lnternotionol Journal Of lnstructionol Technology & Distance Learning Vol. 3, No.2.
            Syed Ardi Bin Syed Yahya Kamal,Zaidatun Tasir (2008). Pembelajaran Masa Depan Mobile Learning Di Malaysia. Universiti Teknologi Malaysia. Dimuat turun pada Mei 5, 2017 daripada http://www.eprints.utm.my/7989/1/EDUPRES_(F3)_9.pdf  Zahiah Binti Kassim & Abdul Razaq Bin Ahmad E-Pembelajaran: Evolusi Internet  Dalam Pembelajaran  Sepanjang  Hayat, Universiti Kebangsaan Malaysia. Dimuat turun pada Mei 5, 2017 daripada http://www. library.oum.edu.my/E-Pembelajaran.pdf
            Siraj,S.(2005). M-Learning Dalam Pembangunan Sekolah Berteknologi Di Malaysia:Prospek Pelaksanaan. Prosiding Seminar Pendidikan. – USM.
                           

4 comments:

  1. M- learning ini bagus untuk diakses semasa pengajaran dan pembelajarann..

    ReplyDelete
  2. M-learning yang banyak membantu dalam proses pengajaran dan pembelajaran

    ReplyDelete
  3. isi-isi yang jelas dan mudah untuk difahami

    ReplyDelete
  4. terima kasih diatas maklumat yang dikongsikan.

    ReplyDelete